Negara umat Islam perlu ada gagasan bersama

KUALA LUMPUR: Negara umat Islam seharusnya mempunyai gagasan dan kekuatan bersama kerana memiliki sumber kekayaan bumi, teknologi dan tenaga manusia serta pakar yang ramai, demikian pandangan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Tetapi ujar beliau, walaupun sudah merdeka, negara umat Islam masih tidak bebas daripada ikatan dengan Barat, hatta untuk bertukar sumber dengan negara lain secara masyarakat Madani, selain pakar-pakar orang Islam pula bekerja di Barat.

“Apa yang berlaku pada hari ini, orang menggunakan sumber kita untuk kekuatan mereka. Negeri Arab yang kaya raya, modalnya banyak, tapi duit dia simpan di Eropah, simpan di Amerika, duduk makan riba. Tak dilaburkan di negeri orang Islam.

“Tenaga kerja orang Islam jadi pelarian di Eropah. Sepatutnya pelarian-pelarian ini mari di negeri orang Islam, tenaga kerja orang Islam, kita tak manfaatkan sumber manusia, tak manfaatkan sumber bumi kita sendiri. Ini kita perlu kembali kepada bumi yang berpijak.

“Malangnya kita tidak berpijak di bumi kita sendiri, nak pijak di bumi orang. Ini kelemahan kita,” ujarnya pada Syarahan Perdana “Geopolitik Dunia dan Masa Depan Islam” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak malam tadi.

Bahkan menurutnya, segala yang dimiliki negara umat Islam juga tidak dimanfaatkan, sedangkan Kesatuan Eropah (EU) walaupun tanpa punya sumber negara, tetapi menjadi kuasa besar ekonomi dunia.

Sepatutnya kata Tuan Guru, orang Islam boleh menjadi kuasa besar ekonomi, namun sebaliknya terjadi apabila mata wang pun tidak bergantung sendiri, tetapi bersandar kepada Dollar dan Euro.

“Kita tak tahu Dollar ini mungkin kertas kosong, mungkin. Tak ada cagaran dia. Kita kena tipulah sepanjang masa. Dia cetak-cetak Dollar banyak, tak ada cagaran dia. Itu yang berlaku. Berlakunya inflasi, berlakunya masalah ini,” ujar beliau.

Ceritanya, Almarhum Prof Dr Najmuddin Erbakan ketika menjadi Perdana Menteri Turki tahun 1998 pernah mencadangkan G8 melibatkan Turki, Iran, Malaysia, Pakistan, Bangladesh, Nigeria, Mesir dan Indonesia.

Namun terangnya, hasrat kerjasama melibatkan ekonomi, politik, ketenteraan dan pelbagai lagi itu telah dimusnahkan perancangannya oleh Barat, lalu mereka melakar semula peta baru dunia yang memisahkan umat Islam kepada masalah mazhab.

Meluahkan kekesalannya, Tuan Guru juga berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula tidak berperanan untuk menangani menyatu isu-isu dan kebersamaan tersebut, namun berharap Malaysia boleh memainkan peranan.

“Malaysia hendaklah mengutamakan negara-negara orang Islam dulu, negara orang Islam. Kemudian negara Serantau, barulah bergantung dengan China dan Amerika. Kita tak nafi bahawa kita tak boleh berpisah daripada dunia.

“Dalam hubungan antarabangsa, mesti ada hubungan dengan semua. Tetapi keutamaan hubungan itu mestilah dengan negara-negara umat Islam,” kemuka beliau cadangan itu dan menyeru kesatuan negara umat Islam dengan mengadakan perubahan politik.

Tuan Guru turut menyentuh bukan sahaja kepentingan berilmu, tetapi juga faham dan dilaksanakan, antaranya memanfaatkan setiap penyelidikan untuk kepentingan masyarakat dan negara, bukan semata-mata untuk mendapatkan ijazah. – HARAKAHDAILY 27/11/2018