Kematian Sheikh Abdullah ditangisi ribuan warga Turki

BERITA kematian Sheikh Abdullah, qari al-quran dan pendakwah yang dikagumi, Abdullah al-Khatib mendapat perhatian pihak Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS). Allahyarham merupakan salah seorang ahli Qura’ di Jami’ al-Fatih Istanbul. Beliau meninggal dunia Ahad lalu di ibu negara Turki, Istanbul pada usia 80 tahun.

Advertisement

Semasa hayatnya, almarhum Abdullah al-Khatib digelar ahli ilmu dan sentiasa berkhidmat kepada Al-Quran dengan membaca serta mengajarkannya di majlis-majlis ilmu. Beliau berkhidmat di Jami’ al-Fatih dan Jami’ Sultan Ahmad hampir 55 tahun.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Jami’ al-Fatih. Upacara pengebumian beliau dihadiri ribuan orang termasuk Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS), Sheikh Dr. Ali al-Qura Daghi.

Selain itu, jenazah beliau juga turut dihadiri sebahagian besar para ulamak kesatuan, para pencinta ilmu dari Turki dan juga negara-negara lain.

Sheikh Dr. Ali al-Qura Daghi semasa menghadiri pengebumian itu mendoakan rahmat, keampunan dan juga syurga tertinggi buat Sheikh Abdullah.

“Umat Islam telah kehilangan seorang ilmuan dan ahli al-quran. Kami memohon kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa agar mengampunkannya, mengasihinya dengan rahmatNya yang Maha Luas, membalasnya dengan sebaik-baik pembalasan, memuliakan kedudukannya, dan memasukkannya ke syurga FirdausNya.

“Semoga Allah mengurniakan ke atas ahli keluarganya, sahabat handainya akan kesabaran dan ketabahan, kerana sesungguhnya Dia sebaik-baik pengawal dan sebaik-baik yang memakbulkan doa,” kata beliau.

Sheikh Qurra Daghi dalam masa sama mendokan al-Quds yang merupakan bumi para anbiya’, tempat bermulanya Risalah Nabi dan juga tempat bermulanya mikraj dan berakhirnya Isra’ Nabi Muhammad SAW. (http://ulamasedunia.org)