Pembangunan desa ke arah konsep menyeluruh

KERAJAAN Negeri ingin mengubah strategi pembangunan desa ke arah satu konsep menyeluruh dan holistik bagi memastikan pembangunan kampung secara bersepadu dan mampan.

Advertisement

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, ia bertujuan meningkatkan pendapatan penduduk kampung dan mewujudkan nilai keempunyaan penduduk setempat dapat dilaksanakan.

“Melalui program-program seperti Karnival Kampungku Kesayanganku ini juga diharapkan objektif ini dapat mencapai matlamatnya,” katanya menjawab soalan Adun Kajang-PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut beliau, bagi aspek infrastruktur, kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk pembangunan projek-projek infrastruktur di kampung yang mana RM15 juta diberikan untuk menaiktaraf dan baik pulih jalan-jalan kampung dan RM15 juta lagi untuk maniktaraf balairaya.

Melihat kepada keadaan semasa dan keperluan yang mendesak, fokus utama Kerajaan Negeri pada masa ini adalah untuk menaiktaraf infastruktur seperti jalan kampung.

“Ini kerana masih terdapat banyak jalan-jalan di kampung yang tidak mempunyai jalan yang sempurna dan tidak mengikut spesifikasi MARRIS. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM30 juta di bawah MARRIS untuk tujuan penyelenggaraan jalan-jalan kampung,” katanya.

Selain itu kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah RM6.43 juta  untuk membangunkan ekonomi kampung-kampung tradisi di samping menjalankan aktiviti berbentuk sosial untuk dimanfaatkan kepada semua masyarakat di kampung.

Jumlah itu katanya termasuk peruntukan sebanyak RM3.68 juta bagi program Ikatan Desa yang bertujuan untuk memperkasakan dan memastikan keharmonian di kampung sentiasa terpelihara. – HARAKAHDAILY 10/11/2017