Melaka maju, rakyat ‘tenat’?

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Melaka mengakui bahawa pertumbuhan ekonomi Melaka meningkat kepada 4.5 peratus, sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  berjumlah RM33.2 bilion serta pelaburan domestik dan pelaburan asing sebanyak RM22 bilion.
 
Malah kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek, kedatangan pelancong meningkat kepada 16 juta setahun sudah cukup mengambarkan Melaka memiliki kedudukan ekonomi yang baik dengan rakyat seramai 914,000 orang.
 
Namun kata beliau, limpahan ekonomi ini sebenarnya tidak dapat dinikmati oleh rakyat negeri Melaka.
 
“Saya tidak menolak kemajuan tetapi bagaimana kehidupan rakyat? Kedudukan perkampungan tradisional terdedah kepada kepupusan,” kata beliau kepada Harakah hari ini.
 
Beliau mengulas isu pembangunan di Melaka dalam masa yang sama masih ramai rakyatnya hidup susah.
 
Begitu juga beliau melihat mengenai isu ruang pekerjaan anak tempatan yang tidak memberangsangkan.
 
Sementara peningkatan kadar cukai tempatan dan infrastuktur sekolah aliran agama masih terabai banyak lagi aspek yang tidak memberi kesan positif kepada rakyat.
 
Tidak ketinggalan kata beliau, hutang negeri sekitar RM844 juta hasil peninggalan legasi BN yang lampau.
 
Justeru, PAS Melaka memperingatkan integriti pentadbiran dan pengurusan perlu dititik beratkan dalam pentadbiran kerajaan negeri. 
 
“Rakyat tidak  mahu dengar isu ketirisan dan rasuah menguasai sistem pentadbiran. Mungkin saya rasa kerajaaan negeri tidak mengutamakan kepakaran tetapi atas dasar kroni,” tegasnya.
 
Sebagai solusinya, beliau menyatakan rakyat harus melakar perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini bagi memberi peluang PAS menerajui negeri tersebut.
 
“Sebab itu saya setuju apa yang dicadangkan oleh Presiden PAS mengenai Kerajaaan Teknokrat diperkenalkan insyallah ia lebih jauh baik,” katanya.
Advertisement