PH tiada kekuatan sendiri

nik zawawi

KOTA BHARU: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dianggap bukan kerana kekuatan sendiri, sebaliknya menumpang arus penolakan rakyat terhadap Umno dan Dato’ Seri Najib Razak.

Advertisement

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, PH mendapat laba kerana arus yang berlaku ketika itu.

Katanya, PRU14 menjadi titik permulaan rakyat mempamerkan keberanian mereka membuat perubahan secara total selepas 61 tahun negara mencapai kemerdekaan.

“Keberanian yang berlaku itu membolehkan rakyat menukar pula kerajaan lain pada PRU 15 sekiranya PH gagal melaksanakan apa yang dijanjikan,” katanya pada kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu hari ini.

Pada PRU lepas PH memperolehi 122 kerusi parlimen dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah. – HARAKAHDAILY 22/6/2018