Tiada lagi alkohol di 7E Taman Arowana

JERLUN: Usaha Dewan Pemuda PAS Jerlun dan Adun Ayer Hitam, Azhar Ibrahim membantah penjualan arak dan minuman berakohol di 7 Eleven Taman Arowana kini membuahkan hasil.

Advertisement

Bantahan itu dibuat pada 2 Jun lalu sekarang mendapat respon positif pemilik premis terbabit.

Ketua Dewan Pemuda PAS Jerlun, Abdul Hadi Omar berkata, bantahan yang dibuat lebih empat bulan lepas mendapat tindakan balas positif premis terbabit.

“Premis berkenaan memberitahu akan memberhentikan penjualan minuman beralkohol bermula 11 Oktober (semalam).

“Kami melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana usaha dan desakan yang dibuat lebih empat bulan lalu mendapat perhatian sewajarnya.

“Kami cukup teruja sikap berlapang dada yang telah ditunjukkan pengurusan 7 Eleven berkenaan dengan mengambil bantahan dibuat demi kesejahteraan umat Islam,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 12/10/2018