Komited kukuh muafakat, PH sudah tidak relevan

PERTEMUAN saya dengan rakan sejawat saya dari MCA Youth (the first female MCA Youth Chairman), Puan Nicole Wong Siaw Ting, petang ini merupakan saat yang bersejarah terhadap politik negara dan Pemuda PAS.
 
Walaupun berlainan ideologi politik, kami berdua mempunyai impian yang sama iaitu meneroka budaya politik baru yang segar, matang dan sejahtera demi rakyat Malaysia!
 
Ia juga meyakinkan saya untuk menolak lamaran pemimpin PAN ‘tak  de selera’ untuk bersama dengan PH. 
 
Gesaan Husam Musa dan beberapa pemimpin PH untuk PAS bersama dengan PH telah membuktikan empat perkara: 
 
i)    PAS sebagai parti yang kukuh dan mempunyai akar umbi yang kuat dan menjadi rebutan;
 
ii)   Kesatuan PAS-Umno berserta parti lain dalam Gagasan Sejahtera (GS) dan BN sangat membimbangkan PH;
 
iii)  Kedudukan Kerajaan PH yang umpama telur di hujung tanduk dan menunggu masa untuk jatuh; dan
 
iv) DAP menguasai Kerajaan PH dan suara ahli Parlimen Melayu Islam dalam kerajaan sangat lemah.
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin menyatakan bahawa kerjasama (ta’awun) yang sedang diterokai oleh PAS jauh lebih bermanfaat untuk diteruskan berbanding menyahut jemputan bergabung dengan PH kerana faktor berikut:
 
i)    Kerjasama ini bertunjangkan dua parti Melayu terbesar di Malaysia yang mempunyai ahli akar umbi yang kukuh dan setia bersama parti ketika susah dan senang. Ini menjamin kestabilan politik dan kerajaan sekiranya diberi mandat.
 
ii)   Kerjasama ini lebih inklusif dan seimbang kerana terdiri daripada parti berbilang kaum dan bangsa mengikut populasi dan demografi kaum. Ini menjamin keseimbangan sosio politik dengan penglibatan semua kaum tanpa rasa prejudis. 
 
iii)  Rakyat sudah muak dengan penipuan demi penipuan oleh pemimpin PH sehingga dijenamakan PH sebagai pakatan penipu yang memenangi PRU14 atas dasar janji palsu dan penipuan. Justeru itu, kerjasama PAS, Umno, GS dan BN akan menjadi pilihan terbaik  rakyat untuk menyelamatkan Malaysia daripada penipuan yang berpanjangan.
 
iv) Budaya politik PH dan DAP yang masih mengamalkan ‘politik hanyir’ dan politik kebencian / cauvinis telah mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara.
 
Dengan pengalaman PAS menerajui beberapa negeri dengan konsep Kerajaan Teknokrat dan Kepimpinan Ulama’ digabungkan dengan pengalaman memerintah kerajaan pusat puluhan tahun oleh rakan dalam gabungan berserta sokongan kuat anak muda yang mahukan perubahan segera, Pemuda PAS akan terus komited mendokong permuafakatan dan kerjasama dengan Umno, GS dan BN. 
 
Justeru itu, Pemuda PAS telah mengatur pertemuan dengan rakan-rakan gabungan (Umno, GS dan BN) di peringkat pemuda bagi memperkukuh muafakat dan seterusnya menghasilkan naratif baru dalam landskap politik anak muda untuk mendepani cabaran mendatang. Ini juga selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) serta budaya masyarakat Malaysia yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan.
 
“Demi Islam”
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/7/2019
IMG 20190716 WA0069
 
IMG 20190716 WA0070
Advertisement