Pemimpin PAS lawat mangsa ribut

PENDANG: Kira-kira 65 buah rumah di 13 buah kampung mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda kawasan ini malam tadi.

Advertisement

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Pendang, Dato’ Mohd Hayati Othman, antara kampung yang terlibat adalah Kampung Gelong Gajah, Banggol Temak, Paya Rawa, Tok La, Bechah, Chegar, Bukit Kechik, Kerdau, Charok Kudung, Telok Wang, Pancor, Bukit Seni dan Bukit Chengai.

“Saya mewakili PAS Pendang mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa yang terlibat dan mengharapkan mereka bersabar dengan ujian Allah ini,” ujar beliau yang juga Adun Tokai.

Dr Hayati juga memaklumkan setakat ini PAS kawasan telah turun ke kampung-kampung terlibat dan menghulurkan sumbangan seperti barangan dapur dan sedikit wang tunai mengikut tahap kerosakan.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim, ahli jawatan kuasa PAS kawasan dan wakil daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Tokai, antara turut hadir menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Dalam kejadian semalam juga beberapa rumah di kawasan Jerai juga turut mengalami kerosakan akibat angin kencang.

Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat dan Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit antara yang terawal turun menziarahi mangsa kejadian dan menyampaikan sumbangan. – HARAKAHDAILY 23/7/2019

bt2