Akidah: Teras politik negara dan tamadun umat

AIR KEROH: Negara Islam Madinah dibangunkan oleh Rasulullah S.A.W didirikan di atas tapak akidah di mana nama ganti kepada Kota Yathrib itu turut mempunyai akar kata sama dengan Din yang bererti agama, dengan juga membawa makna ‘patuh’.

Advertisement

Perkara tersebut diterangkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucaptama dalam program Bayan 1.0 bertema “Bina Negara dan Ummah Berteras Tuntutan Akidah” di D’Village Resort, di sini semalam.

Jelasnya, perkataan Madinah digunakan Nabi S.A.W menggantikan Yathrib itu adalah suatu proklamasi atau deklarasi bahawa tempat baharu itu hendak mewujudkan masyarakat yang tunduk dan patuh kepada Allah serta di dalamnya terkandung prinsip hukum dan keadilan.

Ungkap beliau, dengan kandungan makna sangat luas dan mendalam, ia mengubah model dan cara hidup masyarakat Jazirah Arab kepada cara sosial dan politik yang sangat berperaturan sebagaimana mestinya bagi sebuah masyarakat ideal.

“Maka, Madinah adalah pola kehidupan sosial yang sopan, ditegakkan atas dasar kewajiban dan kesedaran umum untuk patuh kepada peraturan dan hukum. Sistem dibangunkan pula merujuk kepada pola kehidupan yang teratur dalam lingkungan masyarakat kota itu,” perinci beliau.

Dalam konteks Jazirah Arab lanjut beliau, konsep peradaban itu berkait erat dengan pola kehidupan atau berbudaya hinggalah kepada pola hidup bermasyarakat atau tamadun di mana dalam konteks Madinah, ianya adalah peradaban Islam.

Seminar anjuran Lajnah Dakwah PAS Pusat dengan kerjasama PAS Negeri Melaka ini dihadiri hampir 1,000 peserta dalam kalangan ahli-ahli PAS, Umno, NGO dan orang ramai dengan turut mengikuti pembentangan tiga kertas kerja dari pakar bidang berbeza.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulamak ISMA, Dr Ahmad Sanusi Azmi membentangkan tajuk “Kaitan Politik dan Akidah Islam”, manakala Ketua Ulamak PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail membawa tajuk “Ancaman Sekularisma”, sementara Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Dato’ Zainol Rijal Abu Bakar dengan tajuk “Ruang Pelaksanaan Islam Dalam Kerangka Perlembagaan Negara”. – HARAKAHDAILY 26/8/2019

IMG 20190826 WA0099