PAS perjuang merdeka kedua dari penjajahan baharu

KUALA LUMPUR: Tidak mungkin ada wujud kerajaan yang sempurna, tetapi Kerajaan PH hari ini jauh lebih buruk berbanding kerajaan sebelumnya, demikian bidas Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

Advertisement

Menurut beliau, melihat keadaan semakin buruk, PAS mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelamatkan negara dengan langkah strategik ke arah terus menjaga keselamatan dan keharmoniannya.

Lantaran itulah jelasnya, PAS mencadangkan Usul Percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan ura-ura adanya pihak tidak sabar mahu menjadi Perdana Menteri mahu membawa Usul Tidak Percaya.

“Bagaimana sebuah negara akan stabil dalam keadaan sebuah negara yang tidak menentu kepimpinannya? Maka kalau dibiarkan berterusan, pelabur akan lari daripada negara, keyakinan orang luar terhadap negara semakin memburuk.

“Dan keyakinan rakyat sendiri terhadap kerajaan juga semakin tidak menentu, sebab apa kerajaan ini duduk berebut nak jadi Perdana Menteri? Maka dalam keadaan ini, demi untuk menjaga kestabilan negara, kita (PAS) keluar dengan satu move,” ujarnya.

Perkara itu diutarakannya pada temubual Sinar Live “Kerajaan Pintu Belakang: Apa Kata PAS?” anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan di Pejabat Karangkaf, Shah Alam, sebentar tadi.

Tegasnya, PAS sejak dahulu hingga kini konsisten bekerja untuk keharmonian dan keselamatan negara walaupun sudah 60 tahun sebagai pembangkang di peringkat Kerajaan Pusat.

Malah kemukanya, demi kebaikan negara, sejak sebelum PRU14 lagi PAS sudah memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) di mana bekerjasama dengan Kerajaan BN dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

“Dalam banyak keadaan dan dalam keadaan tertentu, kita menentang kerajaan kerana kita yakin tindakan itu merugikan negara. Dan dalam masa yang tertentu, kita menyokong kerajaan. Ini boleh dilihat dalam banyak contoh, di mana sebelum ini, PAS menyokong kerajaan dalam perkara-perkara yang baik.

“Jadi, kenapa PAS tak sabar kalau kata sebagai pembangkang. Dia fungsi pembangkang ini ialah untuk memberikan check and balance untuk mempastikan kerajaan yang ada ini bergerak di atas landasan yang betul. Maka untuk itu, kita telah menyatakan pandangan kita dalam banyak isu,” kemukanya.

Tegas beliau juga, PAS mahu terus mempertahankan kemerdekaan Tanah Air, lebih-lebih lagi dari penjajahan bentuk baharu oleh PH hari ini yang cuba merobek Perlembagaan dan menyebabkan negara kucar-kacir.

Beliau menyenaraikan beberapa isu antaranya pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), hutang negara bertambah ratusan bilion ringgit dalam kurang dua tahun, selain puluhan bilion aset negara dijual.

Kamaruzaman menyifatkan usaha PAS lakukan itu seumpama memperjuangkan kemerdekaan negara ini buat kali kedua dari penjajahan bentuk baharu yang sedabg berlaku kini. – HARAKAHDAILY 18/2/2020