Bekas Pengerusi Tetap Muslimat meninggal dunia

KOTA BHARU: Bekas Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) (dahulu dikenali sebagai Dewan Muslimat PAS Pusat) , Nor Hashimah Deraman, 52 meninggal dunia kira-kira jam 5.15 petang ini.

Advertisement

Suami arwah Mohd Adzha Ismail berkata, kesihatan isterinya tidak menentu sejak Disember lepas setelah pulang daripada mengerjakan umrah.

“Lebih kurang tiga bulan allahyarham tidak berselera untuk makan, kecuali minum sahaja,” ujarnya ketika ditemui di rumah di Kampung Sireh petang ini.

Tambahnya, lebih kurang sebulan lalu arwah tidak mampu berjalan kerana tidak bertenaga.

Kata Adzha selepas Zohor hari ini keadaannya semakin tidak menentu dan arwah isterinya itu meninggal dunia di sisi beliau.

“Alhamdulillah saya sempat mengajarnya mengucap,” ujar beliau.

Menurut Adzha jika allahyarham ada berhutang dengan sesiapa mereka boleh datang berjumpa dengannya.

Sehubungan itu beliau memohon mana-mana pihak yang mengenali arwah isterinya mendoakan kesejahteraan roh arwah.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sireh selepas solat Isyak malam ini.

Allahyarham merupakan aktivis PAS yang istiqamah dalam perjuangan.

Sejak dibangku sekolah bergiat dengan PAS. Pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kelantan, Bendahari Dewan Muslimat PAS Negeri, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kota Bharu.

Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 31/3/2020