PKP: Razman puji inisiatif pendidik SMK Bawong

SUNGAI SIPUT: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hakikatnya tidak menghalang sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan ke atas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, di sini.

Advertisement

Biarpun premis sekolah ditutup, tetapi kegigihan para guru sekolah pedalaman ini memanfaatkan medium lain sebagai inisiatif untuk pelajar dalam kalangan Orang Asli ini sememangnya patut dipuji dan dicontohi.

Kekaguman ini disaksikan sendiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria dalam lawatan kerjanya ke sekolah ini, semalam.

“Para pendidik di sekolah ini secara manual menghantar bahan pembelajaran ke sekolah di mana mereka terlebih dahulu telah mendapat kerjasama polis daerah untuk melaksanakan usaha itu.

“Kita (juga) teruja kerana usaha ini disambut baik dan mendapat kerjasama Tok Batin untuk mengedarkan kertas-kertas pengajaran tersebut kepada para pelajar sekolah itu,” ujarnya.

Jelas Razman, usaha para pendidik ini wajar dicontohi bagi sekolah-sekolah seumpama dalam memastikan pembelajaran murid  terus berjalan meskipun tidak bersemuka.

Turut hadir sama dalam lawatan tersebut ialah ADUN Lintang, Dato’ Zolkefly Harun dan turut ditemani Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Kangsar, Mohd Shud Abdul Majid dan Pengetua SMK Bawong, Anuar Mamat.

Berdasarkan maklumat di terima, SMK Bawong merupakan satu-satunya sekolah menengah harian pertama di Malaysia yang dibina bagi kepentingan dan kemajuan masyarakat Orang Asal di kawasan pedalaman.

Terdahulu, Razman turut melawat SMK Muhibbah bertujuan meninjau kawasan sekolah dan mengumpulkan maklumat yang memerlukan perhatian dari kerajaan negeri.

Hasil tinjauan itu, difahamkan SMK Muhibbah merupakan antara sekolah yang cemerlang apabila berjaya memenangi pelbagai acara seni termasuk di peringkat antarabangsa.

Turut hadir sama Pemangku Pengetua SMK Muhibbah, Zuraini Dato’ Abdullah dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Muhibbah, Adzimah Salleh. – HARAKAHDAILY 5/5/2020