Kelantan belanja dana khas RM400 juta ikut jadual

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah ketika menjawab soalan daripada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di JKR 10 di sini hari ini. Foto- RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Bantuan khas RM400 juta yang diberi kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri Kelantan sebelum ini disalurkan bagi manfaat rakyat mengikut jadual yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, wang tersebut digunakan untuk perbelanjaan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Advertisement

Antaranya kata beliau menyediakan kemudahan infrastruktur, membaiki dan membina rumah penduduk miskin dan projek meningkatkan bekalan air bersih.

“Kita simpan bantuan khas itu untuk tujuan tersebut. Dana yang diguna untuk bantuan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita guna peruntukan lain,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini seorang pemimpin PAN Kelantan mempersoalkan sampai bila dana khas yang diberikan kerajaan Persekutuan semasa era Pakatan Harapan (PH) mahu disimpan sedangkan ada rakyat memerlukan bantuan.

Mohd Amar juga berkata, dana khas tersebut tidak akan dibelanjakan sesuka hati termasuk untuk bantuan Covid-19.

Pada 8 April lepas Kelantan memperuntukan sebanyak RM29 juta bagi membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Difahamkan bantuan khas RM400 juta diberi kepada Kelantan atas inisiatif perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas tuntutan royalti petroleum tidak dibayar kepada Kelantan.- HARAKAHDAILY 6/5/2020