Bukan kawasan baharu, tetapi selesai isu konsesi

ALOR SETAR: Kesediaan Kerajaan Negeri Kedah mempertimbangkan untuk membuka kembali konsesi pembalakan bukanlah bermaksud cadangan untuk mewujudkan kawasan baharu aktiviti berkenaan.

Advertisement

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia hanya cadangan untuk menyelesaikan masalah berbangkit setelah kelulusan konsesi yang diberi telah dibatalkan kemudiannya oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Sedangkan syarikat-syarikat berkenaan telah membayar premium. Berikutan itu, implikasi yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan negeri sama ada berhadapan dengan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi ataupun menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat-syarikat konsesi berkenaan.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri bertegas bahawa kawasan lain yang diganti itu mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa,” ujar kenyataan dikeluarkan pejabatnya.

Ditegaskan, keutamaan kerajaan negeri ialah kehidupan rakyat akan dipastikan tidak terganggu, tiada pencemaran, tanpa penggondolan, hakisan, banjir lumpur dan lain-lain akibat yang boleh membawa kemusnahan kepada alam sekitar.

Juga dinyatakan untuk memastikan penjagaan terhadap kehidupan manusia sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang menerusi langkah-langkah yang akan diberi perhalusi dan diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Kerana jika kita bersedia untuk membayar tuntutan ganti rugi yang dianggarkan mencecah nilai RM1 bilion, hal kawasan ganti itu tidak timbul,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan ini sebagai menjawab kekeliruan dan polemik dalam kalangan netizen berikutan laporan sebuah media kononnya Kerajaan Negeri Kedah akan membuka kawasan baharu pembalakan. – HARAKAHDAILY 26/5/2020