Pelantikan bukti PAS hargai non-Muslim

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Selangor mengucapkan tahniah kepada Ketua DHPP Pusat, N Balasubramaniam yang dilantik sebagai Senator Ahli Dewan Negara.

Dalam satu kenyataan, Ketua DHPP Negeri Selangor, Dato’ Deepakaran Karuppiah turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS.

Advertisement

“Pelantikan ini membuktikan bahawa PAS memberi kepercayaan kepada wakil DHPP dan masyarakat bukan Muslim untuk terlibat secara langsung dalam urusan proses menggubal polisi Negara.

“Malah, PAS juga bukanlah sebuah parti yang bersifat perkauman, bahkan sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan ahli-ahli DHPP dan masyarakat bukan Muslim amnya,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya mengharapkan agar N. Balasubramaniam dapat memainkan peranan yang aktif dalam menyuarakan pandangan penyelesaian isu-isu masyarakat untuk kebaikan negara.

Semalam, Balasubramaniam dan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran bersama tiga lagi individu lain iaitu Tan Sri Dr Rais Yatim, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad serta Muhammad Zahid Md Arip.

Kelima-lima individu ini merupakan lantikan baharu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.– HARAKAHDAILY 17/6/2020