Pak Subky: Perginya permata yang luar biasa

SIAPA yang tidak mengenali ketajaman dan setiap susunan kata penulisan beliau pastinya akan merasai segala bicara penuh makna. Pak Subky tegas dalam bicara dan susuan mata penanya pasti membekas dalam jiwa-jiwa anak pejuang.

Advertisement

Kehilangannya akan dirasai seakan patah sebelah sayap yang komited melebarkan kata-kata perjuangan tanpa noktah.

Pak Subky Latif pernah menjadi pemberita Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963 dan pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Internationales Institut für Journalismus, Berlin Barat, Jerman.

Memulakan kerjayanya sebagai seorang wartawan di Utusan Melayu dan beliau merupakan mantan wartawan kanan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu yang sangat disegani dan popular dengan tulisannya yang sangat berwibawa selaku pengarang tajuk rencana dan penulis pojok.

Ketika itu, beliau berada di barisan ketiga dalam hierarki pimpinan Utusan Melayu, iaitu Mazlan Nordin (Tan Sri), Osman Abadi dan beliau di tempat ketiga.

Hal demikian kerana, dalam kalangan wartawan kanan yang telah lama bertugas di Utusan waktu itu, termasuk Zainudin Maidin (kini Tan Sri), Ali Salim (Jiro) dan lain-lain, Subky Latif yang ada latar belakang pendidikan yang agak tinggi iaitu MCE dan pelajaran agama di Gunung Semanggol, Perak.

Dia kerap mengikuti kursus sambil belajar di negara-negara luar khususnya di negara Eropah yang ditaja oleh pejabat kedutaan asing di Kuala Lumpur.

Beliau turut menjadi pengasas beberapa buah akhbar seperti dwi mingguan ‘Suara Rakyat’ dan ‘Suara Merdeka.’ Begitu juga dengan beberapa majalah yang ‘diciptanya’ seperti ‘Sarina’, ‘Keluarga’, ‘Kisah Cinta’ dan ‘Kritik’.

Pada tahun 1976, Tan Sri Mohd Khir Johari melancarkan akhbar ‘Harian Watan’ yang tujuannya untuk menjadi suara bebas. Akhbar dwibahasa itu adalah untuk menjadi alternatif kepada akhbar arus perdana. Bagaimanapun, akhbar yang dipimpinnya itu gagal dan kemudian menjadi tabloid politik mingguan.

Jasanya dalam mengasaskan akhbar lidah rasmi PAS Harakah pada tahun 1978 menjadi saham besar demi melestarikan perjuangan dengan menyampaikan segala aspirasi parti.

Hingga kini, Harakah terus menyambung legasi beliau dan melahirkan ramai wartawan-wartawan berkaliber dan setanding dengan keperluan semasa .

Kolum khas penulisannya dalam Harakah memberikan 1001 satu kekuatan dan suara berpadu dalam merungkai setiap kepincangan sekaligus pembaca pembaca memahami aspirasi perjuangan Islam.

Cinta dan kasih kepada perjuangan PAS , penubuhan As-Sabiqun di bawah pimpinannya telah berjaya menghimpunkan orang-orang lama PAS bagi terus menyumbangkan tenaga dan kudrat sebagai saksi usaha mereka melihat Islam diamalkan di tanah air tercinta.

Sebelum memasuki PAS, beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada mantan Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein

Antara koleksi karya beliau:

  1. Suka duka politik Tun Razak (1976)
  2. Krisis Timbalan Perdana Menteri (1976)
  3. Siapa Ganti Asri (1977)
  4. Barisan Nasional Digugat dan Digigit (1978)
  5. Vietnam : Siasah Serampang Banyak Mata (!979)
  6. Anak Jawa Pelabuhan Kelang : Analisa Awal Pilihanraya Kecil (1980)
  7. Shah Iran dikehendaki hidup atau mati (1980)
  8. Malaysia Ke Arah Pemikiran Islam (1982)
  9. Sokongan dan Tentangan terhadap The Malay Dilemma (1982)
  10. Kumpulan Fokus Subky Latif Isu: 1977 (1984)
  11. Dilema Pemuda UMNO (1985) Terbitan Media Intelek
  12. The Malay Dilemma : Secebis Kertas Usang (1990)
  13. Kemelut Baru pemuda UMNO! (1996)
  14. Mula-mula Harakah kini Almanak (2000)
  15. I.S.A. : Ia Sah Aniaya (2006) Terbitan Gerakan Mansuhkan ISA
  16. Adam & Hawa : Dari Syurga Ke Jabal Rahmah, Idris : Manusia Bumi, Manusia Langit (2006) Sarjana Media
  17. Nabi Nuh : Selamatkan Binatang, Tidak Isteri & Anak (2006) Sarjana Media
  18. Nabi Hud : Nabi Bagi Orang Gagah Dan Mewah, Nabi Salleh : Dibenci Tsamud, Dikasihi Unta (2007) Sarjana Media
  19. Subky Latif: Istimewa Terkenang (2009) Terbitan Media Icon Sdn. Bhd.
  20. Anak Apak : Memoir Politik Kewartawanan (2011) Terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd
  21. Fadzil Noor: Dia Guru Dia Kawan (2012) Terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd, & Terbitan Penerbitan al-Azim Sdn. Bhd
  22. Propagandis Zaman (2012) Terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd
  23. Mens Sana In Corpore Sano (2012) Terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd- HARAKAHDAILY 22/6/2020