Kerajaan negeri komited bantu kemelut KFA

ALOR SETAR: Kerajaan negeri komited membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau akan berjumpa dengan syarikat-syarikat besar dan ahli-ahli perniagaan untuk memohon penajaan.

Advertisement

Katanya beliau akan berusaha keluarkan KFA daripada kemelut tanpa menggunakan wang kerajaan.

“Peminat bola sepak boleh buat apa sahaja tetapi kalau kita berhasrat nak menang semua piala perlulah ukur keupayaan dan kemampuan sendiri.

“Lagi pun sekarang dalam keadaan normal baharu, penonton tak boleh masuk stadium, tengok bola cara online. Jadi perkara sebegini diambil kira juga oleh penaja,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Himpunan Pagi dan Pelancaran Bulan Kebangsaan di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau yang juga Presiden KFA yakin ramai pemain yang tidak menuntut gaji yang tinggi kerana mereka memahami kemampuan persatuan itu sekarang.

Sementara itu dalam perkembangan lain, katanya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah memperuntukkan sebanyak 218 ekor lembu untuk diagihkan ke seluruh negeri sempena sambutan Hari Raya Adiladha tahun ini. – HARAKAHDAILY 28/7/2020