MAIN, AMZ bantu pihak terjejas PKP

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) memainkan peranan besar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membantu pihak yang terjejas dan petugas barisan hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata jumlah bantuan yang telah diagihkan oleh pihak MAIN dan AMZ adalah sebanyak RM426,930,452.75.

Advertisement

Menurutnya, bagi membantu mereka yang terjejas di Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah meluluskan keseluruhan bantuan sebanyak RM45,653,237.00 bermula hari pertama PKP berkuatkuasa sehingga 27 Julai 2020.

Katanya, bantuan diberikan kepada kumpulan sasar yang dikenalpasti merangkumi golongan asnaf, golongan terjejas barisan hadapan, pelajar, NGO dan gelandangan.

“Antara bentuk bantuan yang diberikan adalah bantuan zakat khas tambahan sebanyak RM500 kepada 24,196 asnaf berjumlah keseluruhan RM12.098 juta,” ujarnya dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, ujarnya, MAIWP juga telah mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan bulanan pada bulan pertama PKP diumumkan.

“Bagi mereka yang terjejas pendapatan akibat PKP, MAIWP turut menyediakan bantuan zakat kecemasan Covid-19, sehingga kini seramai 17,500 orang telah menerima manfaat daripada skim bantuan ini yang berjumlah keseluruhan RM8.65 juta.

“MAIWP turut mengagihkan bantuan makanan harian kepada barisan petugas hadapan dengan menyalurkan bantuan kewangan bagi peralatan perubatan kepada tujuh buah hospital dan bantuan peralatan PPE kepada agensi pengurusan bencana negara iaitu NADMA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) meminta penjelasan berhubung sumbangan wang zakat dan baitulmal digunakan untuk membantu golongan terkesan sepanjang PKP. – HARAKAHDAILY 4/8/2020