Pemuda PAS hantar memo tolak Pelan Damai US-Israel

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menghantar satu memorandum menolak pelan damai diusahakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump iaitu ‘Deal of the Century’ yang disifatkan sebagai satu perjanjian mengenepikan rakyat Palestin.

Advertisement

Perjanjian berat sebelah Trump yang melibatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu turut ditentang pelbagai pihak termasuk Pertuduhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, dan wakil PBB sendiri.

Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin, beliau bersama delegasi Pemuda PAS membawa beberapa cadangan kepada pihak Kedutaan Amerika Syarikat termasuk membenarkan Palestin memilih rakan sekutu untuk ‘Pelan Damai’ itu.

“Antara yang kami cadangkan, sekiranya Amerika Syarikat boleh bersama membuat satu perjanjian, kenapa tidak membenarkan pihak Palestin memilih rakan sekutu mereka untuk bersama dengan mereka bagi membincangkan perkara ini?

“Maknanya bukan Amerika Syarikat, Palestin dan Israel sahaja, kita mahu Amerika, Israel, Palestin dan rakan yang dipersetujui Palestin sendiri yang boleh duduk semeja membincangkan kebaikan kepada rakyat Palestin, yang kita tahu Israel telah lama menzalimi rakyat Palestin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas usai menyerahkan memorandum tersebut kepada Pegawai Hal Ehwal Politik Kedutaan Amerika Syarikat, Drew Curiel di ibu kota, pagi tadi.

Pimpinan Pemuda PAS Malaysia yang turut sama mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Penolong Setiausaha, Muhd Khidhir Izaidin.

Mengulas lanjut menurut Khairil, usaha tersebut mendapat sambutan baik dari pihak kedutaan dan mereka berjanji akan memastikan pihak berkaitan menerima memorandum tersebut.

Malah, tindakan Pemuda PAS yang terkehadapan dalam isu ini turut mendapat reaksi baik walaupun hanya mewakili salah satu parti politik pembangkang dari Malaysia.

“Alhamdulillah, pegawai berkenaan mengatakan pihaknya teruja sebab ini kali pertama parti politik negara datang mebawa suara mereka sepanjang perkhidmatan beliau di sini serta bersedia untuk berdiskusi secara terbuka dengan mereka.

“Ini menunjukkan yang kita berani menyatakan kebenaran kepada mereka, Pemuda PAS tidak ada suara ketenteraaan, apa yang kita buat adalah (memberi) idea dan kita bawa suara rakyat Palestin secara diplomatik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/2/2020