TH Hotel: Kenyataan siapa boleh percaya?

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menzahirkan kekesalan di atas berita percanggahan laporan tentang berita penamatan operasi dan perkhidmatan hospitaliti bagi empat rangkaian hotel di bawah kumpulan TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR).

Advertisement

Ia menimbulkan persoalan kenyataan siapakah yang boleh dipercayai sama ada pihak pengurusan Tabung Haji (TH), Menteri bertanggungjawab, Perdana Menteri sendiri dan Kementerian Kewangan Malaysia?

Ketua Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan berkata, pihak Kerajaan PH perlu bersikap telus untuk melaporkan justifikasi penjualan atau pengambil-alihan aset-aset TH ini.

“Jika kononnya, penjualan aset-aset ini disebabkan oleh silap pelaburan kerajaan terdahulu atau masalah kewangan TH, maka kerajaan PH wajar menunjukkan penyata tahunan kewangan setiap aset-aset tersebut. Fakta adalah penting,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Merujuk kepada semakan prestasi kewangan terhadap salah satu aset yang diambilalih, iaitu TH Hotel & Convention Center Terengganu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.025 juta pada tahun kewangan berakhir 2018.

Manakala, TH Hotel Alor Setar pula mencatatkan keuntungan RM200,000 pada tahun kewangan berakhir 2018.

“Persoalannya, kenapa aset yang mencatatkan keuntungan diserahkan kepada SPV untuk tujuan pemulihan kewangan. Kerajaan harus jelas, apakah lagi tujuan pemulihan apabila aset itu tidak mencatatkan kerugian.

“Adakah ini salah percaturan pentadbiran sehingga menjejaskan pelaburan setiap umat Islam di negara kita yang menabung di Tabung Haji?” Soalnya.

Berikutan itu, beliau menggesa kerajaan menilai semula keputusan yang diambil demi menjaga pelaburan umat Islam di negara kita yang mempercayai pentadbiran Tabung Haji.

Menurut Shahir, rakyat Malaysia tidak mahu melihat TH, sebagai institusi yang menjadi kebanggaan negara di mata dunia Islam, bakal terkubur atau muflis kerana silap percaturan kewangan atau didorong dendam politik.

Selasa lalu, Lembaga Tabung Haji dalam kenyataannya mengatakan bahawa pihaknya tidak menutup empat hotel iaitu iaitu TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar; dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu dan tidak melaksanakan pemberhentian pekerja.

Sebaliknya rangkaian hotel itu akan beroperasi di bawah pengurusan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJ), iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof, tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) memindah milik operasi empat hotel miliknya kepada pihak ketiga, adalah langkah pemulihan TH selepas mengalami kerugian hampir RM53 juta selama lima tahun hingga 2018.

Susulan itu, katanya langkah tersebut bertujuan memastikan kepentingan pendeposit dan jemaah haji tidak terjejas.

Hal ini juga turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mempertahankan tindakan itu berikutan hotel berkenaan dikatakan tidak mendatang hasil dan pengurusan TH perlu mencari cara lain untuk melaburkan wangnya bagi mendapat keuntungan. – HARAKAHDAILY 20/2/2020