Covid-19: Tribut Untuk Malaysia

Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin

DASAR dan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mula membuahkan hasil.

Tidak seperti negara- negara lain, graf status wabak Covid-19 di Malaysia tidak menaik tetapi sudah mula mendatar. Alhamdulillah.

Jumlah mereka yang dijangkiti di Malaysia sehingga semalam, 15 April 2020 adalah sekitar 5,082 orang berbanding Indonesia yang sudah mencapai angka 5,136 orang dan dijangka akan terus bertambah secara drastik.

Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh di Malaysia adalah 2,647 orang atau sekitar 52 peratus berbanding Indonesia yang hanya 469 orang atau 9.13 peratus.

Begitu juga jumlah kematian di Malaysia hanya 83 orang berbanding 486 orang di Indonesia.

Advertisement

Apa rahsia Malaysia?

Langkah awal yang diambil oleh Kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan PKP atau ‘Movement Control Oder’ (MCO) secara terancang.

Mengenalpasti kluster penyebab dan bertindak cepat melakukan pengasingan (kuarantin) kepada mereka dan orang-orang yang pernah bersama mereka yang dikenali sebagai kontak rapat .

Penyampaian maklumat yang sistematik, berkesan dan berterusan adalah kunci kepada situasi yang terkawal dan jauh sekali dari suasana panik. Ketua Pengarah Kesihatan Dato’ Dr. Noor Hisham Abdullah dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk melapor kepada rakyat akan status wabak dan tindakan semasa yang diambil oleh Kementerian Kesihatan. Melalui cara ini rakyat mendapat maklumat dari satu sumber yang sahih sahaja.

Begitu juga dengan hal-hal berkaitan Keselamatan Awam ditugaskan kepada Menteri Kanan Keselamatan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memaklumkan kepada rakyat secara harian. Dua pendekatan inilah yang berjaya membuat rakyat merasa aman dan selamat serta tidak ada alasan untuk mereka panik.

Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak pantas dengan mengisytiharkan Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19 yang dinamakan PAKEJ PRIHATIN bernilai RM250 billion. Dari jumlah tersebut RM25 billion disuntik terus ke dalam sistem ekonomi sebagai ‘Cash Liquidity’ agar wang berputar untuk merangsang ekonomi.

Beberapa hari kemudian Pakej PRIHATIN ditambah lagi khusus untuk membantu golongan Pengusaha Kecil dan Sederhana PKS. Satu tindakan yang sangat bertanggungjawab dan mendahulukan kebajikan rakyat di semua peringkat melampaui batas politik dan bangsa.

Tanggungjawab memerangi Covid-19 tidak hanya terbeban keatas Kerajaan semata-mata malahan turut dikongsi oleh rakyat yang prihatin dan golongan korporat.

Lihat bagaimana NGO, Parti Politik dan orang perorangan sama-sama berperan. Mereka mengatur sumbangan makanan dan peralatan PPE (Personal Protective Equipment) secara sukarela dan percuma, tanpa diminta, untuk mereka yang bertugas di Barisan Hadapan (Frontliners).

Warga Malaysia bukan sahaja membantu Frontliners tetapi turut menggembling tenaga dan sumber untuk membantu mereka yang terkesan secara langsung atau tidak langsung akibat dari penguatkuasaan PKP oleh Kerajaan. Mereka yang terjejas dibantu dengan pengagihan bahan makanan dan keperluan asas.

Semangat solidariti dan tolong menolong antara rakyat dengan Kerajaan dan juga sesama rakyat tanpa mengira batas politik, warna kulit dan agama seharusnya boleh menjadi contoh yang baik kepada negara-negara lain.

Tahap kepatuhan rakyat Malaysia kepada arahan semasa oleh Kerajaan boleh dibanggakan, walaupun tidak dinafikan masih ada sebilangan kecil rakyat yang degil seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan mereka. Namun untuk golongan kecil ini tindakan dan hukuman tegas pihak berkuasa sentiasa menjadi igauan mereka.

Walaupun begitu masih terdapat juga kelompok yang cuba mengambil kesempatan politik disaat negara sedang “berperang” dengan wabak dan memerlukan rakyat bersatu dan fokus kepada pendekatan yang sedang diambil oleh Kerajaan.

Sikap menangguk di air keroh ini bagaimanapun tidak mendapat tempat dikalangan rakyat kerana rakyat Malaysia sudah semakin matang disamping pendekatan Kerajaan yang sentiasa profesional dan mementingkan rakyat.

Perjuangan ini masih panjang. Namun Kerajaan dan rakyat Malaysia telah terbukti bermuafakat dalam satu perikatan yang padu dalam membendung penularan Wabak Covid-19 di Malaysia. Semoga semangat ini berterusan untuk memacu kembali Malaysia ketahap yang lebih makmur, InsyaaAllah

Tahniah Malaysia

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka- HARAKAHDAILY 16/4/2020